Isnin, 23 Ogos 2010

Puasa Adat Persis Ibadat...


Ramadhan adalah bulan impian bagi setiap manusia yang beragama Islam. Di bulan ini terdapat pelbagai keistimewaan luar biasa yang tidak pernah kita temui di bulan-bulan yang lainnya. Walaubagaimanapun, di bulan puasa juga ada perkara yang mendatangkan kebaikan dan keburukan, kerana ada dikalangan kita tidak menggambarkan ciri ibadah puasa yang sebenar serta tidak kurang juga dengan menjadikan puasa sebagai adat atau pesta tahunan sahaja. Masih ramai di antara kita yang berpuasa ikut-ikutan. Tujuan sebenar ibadah puasa diwajibkan Allah tidak difahami. Justeru, ibadah puasa yg dilakukan hari ini tidak lebih sekadar ‘lapar dan dahaga’.
Di antara ciri-ciri tingkahlaku yang perlu dihindarkan kerana telah menjatuhkan martabat puasa kepada tahap ibadat kepada tahap adat ialah:
•Menyempitkan skop puasa hanya dengan menahan makan dan minum pada siang hari sahaja. Sedang mata, hati dan lidah tidak ditahan daripada melakukan dosa. Rasulullah s.a.w bersabda: Barangsiapa yang tidak meninggalkan perkataan buruk dan perbuatannya tatkala berpuasa, maka tiada hajat Allah baginya (kerana pahala akan terhapus) walaupun meninggalkan makanan dan minumannya. (riwayat Al-Bukhari)
Berpuasa pada siang hari sahaja daripada melakukan dosa dan maksiat. Selepas berbuka segala kegiatan maksiat seperti mengumpat, merokok, mencaci, melakukan zina mata diteruskan seperti biasa. Padahal puasa ini melatih dan mendidik jiwa kita supaya berakhlak dengan sebaik-baiknya dan orang yang berpuasa dengan bersungguh-sungguh akan di ampunkan dosanya yang terdahulu. Sebagaimana hadis” ” …sesiapa yg berpuasa pada bulan Ramadan dgn penuh keimanan dan kesungguhan, diampunkan dosanya yg telah lalu.” (Bukhari)
Sentiasa berlebih ketika menyediakan juadah berbuka puasa sehingga melakukan pembaziran, hal ini, disebabkan terdorong oleh nafsu makan. Allah berfirman, Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara kepada syaitan. (al-Isra':27)
Terdorong untuk bersolat tarawih hanya kerana sandaran kepada hadis palsu yang menyatakan kelebihan bersolat tarawih pada setiap malam. Di sini kita boleh tengok mereka yang melakukan hal demikian bukan niat kerana Allah tetapi kerana ganjaran palsu.
•Ada juga di kalangan kita tidak menunaikan sembahyang fardu ketika berpuasa atau hanya bersolat pada bulan Ramadan sahaja. Sabda nabi s.a.w : Beza di antar seorang Muslim dengan syirik serta kekufuran adalah meninggalkan solat. (riwayat Muslim). Menurut sebahagian ulama salaf, orang yang meninggalkan solat dengan sengaja dihukum kafir. Maka sudah pasti amalan puasa orang yang kafir tidak akan diterima oleh Allah
Kebayakan hari ini ada dikalangan kita malas bekerja dan tidak produktif semasa berpuasa dengan alasan keletihan kerana berpuasa. Di sini,kita boleh mencontohi pada zaman nabi. bagaimana nabi s.a.w dan para sahabat berperang Badar dengan nisbah 300 melawan 1,000 orang di bulan Ramadhan.
Malas berdoa sedangkan doa orang yang puasa akan dimakbul oleh Allah berdasarkan sabda nabi s.a.w : Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu tatkala waktu berbukanya, adalah waktu doa yang tidak ditolak.( Ibn Majah)
Mengabaikan serta meninggalkan peluang beribadat pada 10 malam terakhir Ramadan kerana sibuk dengan persiapan menyambut hari raya. Antara amalan yg perlu dan mesti diperbetulkan ialah keghairahan berlebihan menyambut Hari Raya. Akibatnya ada sesetengah daripada kita yang mensia-siakan bulan yang berkat ini terutama 10 hari yang terakhir kerana terlalu sibuk dengan persiapan hari raya.
•Kepercayaan kepada perlunya menyalakan pelita pada malam 7 likur. Akibat kepercayaan ini Islam telah terfitnah dengan tohmahan pihak tertentu yang mengatakan malaikat orang Islam rabun malam. Oleh sebab itu, pelita perlu dinyalakan sebagai panduan kepada para malaikat yang turun membawa berkat.
Ini adalah antara beberapa kesalahan yang biasa dilakukan oleh umat Islam semasa menjalankan ibadat puasa yang telah merendahkan martabat bulan Ramadhan. Oleh itu, sebagai seorang umat Islam kita perlu menghindarkan perkara-perkara tersebut demi menjaga pahala yang berganda di bulan yng mulia ini dan umat Islam hendaklah benar-benar memahami prinsip puasa yang berlandaskan oleh al-Quran, bukan menjadikan puasa adat tahunan sahaja.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan